Gamete IntraFallopian Transfer (GIFT)

Sebelum menjalani GIFT doktor akan memastikan terlebih dahulu bahawa tiub fallopio anda adalah normal dan tidak tersumbat. Kaedah ini biasanya diaplikasikan bagi kes-kes di mana punca ketidaksuburan tidak dapat dikenalpasti atau masalah sperma yang sederhana. Walaubagaimanapun ia kurang diamalkan berbanding IVF , kerana ia memerlukan laparoskopi dan bius keseluruhan. Ianya masih diamalkan terutamanya bagi pusat kesuburan yang tidak mempunyai kemudahan untuk pengkulturan embrio yang sempurna. Selain itu, ia juga merupakan salah satu penyelesaian bagi kes yang mengalami kegagalan IVF berulang kali.

Prosedur GIFT bermula dengan aruhan ovari untuk menghasilkan banyak folikel matang. Di Metro IVF, apabila folikel terbesar telah mencapai 18mm, suntikan hCG akan diberi untuk mematangkan ovum dan meransang ovulasi. 34 jam selepas suntikan hCG ovum yang matang akan dikumpulkan melalui laparoskopi dan ovum-ovum ini kemudiannya dicampurkan dengan sperma yang telah diproses. Setelah itu, campuran sperma dan ovum akan dimasukkan ke ampula secara laparoskopi. Persenyawaan akan berlaku secara semulajadi di dalam badan. Setelah gamet-gamet dimasukkan, sokongan peleutenan diberi untuk membantu proses penempelan dan perkembangan embrio. 2 minggu berikutnya, doktor akan membuat ujian kehamilan untuk menentukan keputusan rawatan. Prosedur GIFT akan meninggalkan parut sepanjang setengah inci dibahagian berhampiran pusat dan di atas bulu pubis.