In Vitro Fertilisation (IVF)

 IVF juga dikenali sebagai 'bayi tabung uji', ini kerana, persenyawaan berlaku diluar badan (di dalam tabung uji). Indikasi bagi IVF termasuk:

1. faktor tiub (tiub tersumbat atau tidak berfungsi)
2. endometriosis
3. masalah sperma
4. faktor immunologi (antisperm antibodies)
5. rawatan IUI yang gagal
6. ketidaksuburan yang belum dikenalpasti puncanya
7. pendermaan sperma/ ovum/ embrio
8. ibu tumpang

 

Wanita akan menjalani controlled ovarian hyperstimulation (COH), sama ada protokol panjang, protokol pendek atau protokol antagonis, mengikut kesesuaian. Suntikan hCG akan diberi apabila folikel telah mencecah 18mm untuk mematangkan ovum. 34 jam berikutnya, pengumpulan telur (oocyte pick up (OPU)) akan dijalankan.

 

 

OPU adalah proses mengumpulkan telur. Telur akan disedut melalui vagina menggunakan peralatan khas. Prosedur ini memerlukan bius keseluruhan. Sebelum menjalani OPU perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:

 

  • jangan makan atau minum sekurang-kurangnya 8 jam sebelum menjalani OPU
  • jangan memakai kanta lekap, gigi palsu, alat solek, pewangi dan pengilat kuku semasa prosedur.
  • jangan membawa barang-barang berharga
  • pastikan anda telah menguruskan pengangkutan balik kerana anda dinasihatkan tidak memandu 24 jam selepas prosedur.

 

 

Semasa OPU, cecair folikular akan disedut menggunakan pam penyedut dan dikumpulkan di dalam tabung uji. Cecair yang dikumpulkan ini akan diserahkan kepada embriologist yang berada di dalam makmal bersebelahan dengan bilik pembedahan. Embriologist akan mengenalpasti telur menggunakan mikroskop. Prosedur ini mengambil masa 15 hingga 60 minit untuk selesai bergantung kepada bilangan folikel yang disedut. Setelah semua telur disedut, telur-telur ini akan dieramkan di dalam inkubator yang mana suhunya adalah 37ºC dan kepekatan karbon dioksida adalah 5%. Ini bertujuan untuk memberi ruang bagi telur melengkapkan fasa Meiosis II sebelum ia disenyawakan.

 

 Pada hari yang sama, pasangan lelaki perlu mengeluarkan semen untuk diproses. Perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:

  • mengekang diri dari hubungan seks 3 hari sebelum sampel dikeluarkan
  • memaklumkan sekiranya pernah jatuh sakit atau mengambil sebarang ubat-ubatan dalam tempoh 2 bulan sebelumnya.
  • digalakkan mengeluarkan sperma secara masturbasi
  • mencuci tangan sebelum mengeluarkan sperma
  • elakkan menggunakan pelincir atau sabun
  • elakkan semen dari tertumpah

 


Embryologist akan memproses semen dengan mengasingkan plasma, sel-sel dan sperma yang telah mati. Proses pemilihan sperma dilakukan dengan mencampurkan media khas dan beberapa siri pengemparan. Larutan akhir yang mengandungi kepekatan sperma motile yang tinggi akan diinseminasi ke dalam media pengkulturan yang mengandungi ovum seterusnya disimpan di dalam inkubator supaya persenyawaan berlaku secara semulajadi.

 

 

 

Prosedur pemindahan embrio tidak memerlukan bius dan hampir serupa dengan IUI. Perbezaan antara keduanya adalah pemindahan embrio memerlukan bantuan imbasan ultrabunyi manakalaIUI tidak. Imbasan ultrabunyi membantu doktor untuk menempatkan kateter berhampiran dengan fundus dan mengurangkan trauma terhadap endometrium. Keseluruhan prosedur mengambil masa 5 minit sahaja (lihat video).

 

 

 

 

Selepas menjalani pemindahan embrio, wanita tersebut perlu mengambil sokongan peleutenan sama ada dalam bentuk tablet vagina atau suntikan. Perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:

  • banyakkan rehat dan elakkan aktiviti fizikal yang berlebihan.
  • pastikan anda menggunakan ubat progesteron yang dibekalkan setiap hari.
  • minum air secukupnya.
  • elakkan pengambilan ubat-ubatan tanpa nasihat doktor
  • elakkan hubungan kelamin sekurang-kurangnya 3 bulan selepas menjalani rawatan

 

Ujian kehamilan akan dilakukan 2 minggu selepas prosedur untuk menentukan status kehamilan.