BERPUASA SEMASA HAMIL DAN MENYUSU

BERPUASA SEMASA HAMIL DAN MENYUSU

Dr Afida Sohana Awang Soh, Hospital Wanita Metro

Setiap kali tibanya Ramadhan, soalan cepu emas yang ditanya doleh ibu-ibu yang hamil atau menyusu adalah samada mereka dibolehkan berpuasa semasa hamil dan menyusu.

Untuk menjawab soalan ini, pertama sekali mari kita lihat dari segi agama.

Sabda Nabi Muhammad SAW,

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلاَةِ وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ

“Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla meringankan setengah solat untuk musafir dan meringankan puasa bagi musafir, wanita hamil dan menyusui.”

Hadis riwayat An Nasai no. 2275, Ibnu Majah no. 1667, dan Ahmad 4/347. Syaikh Al Albani
mengatakan bahwa hadits ini hasan sahih.

Menurut Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, beliau berpendapat yang perempuan yang hamil dan menyusukan anak jika berbuka kembali kepada dua keadaan sahaja iaitu:

  1. Kalau semata-mata kerana bimbang diri sendiri bolehlah dia berbuka dan qadha sahaja.
  2. Kalau kasihankan kepada janin dan juga anak yang disusukannya maka bolehlah dia berbuka dan membayar fidyah.

Agama Islam memberi keringanan dalam berpuasa buat bakal ibu yang sedang hamil, dan ibu-ibu yang sedang menyusu. Sebab keringanan ini, boleh diterangkan dari segi saintifik.

Dari perubatan, keringanan ini diberikan kerana terdapat perubahan pada fisioloji ibu yang mungkin membuatkan puasa itu menjadi sedikit payah, dan dalam keadaan tertentu, merbahaya.

Antara perubahan yang berlaku pada Wanita semasa kamil adalah :

  1. Pengaliran darah ibu meningkat 10 kali ganda semasa hamil. Ini menyebabkan jumlah darah bertambah lebih 1.5L dari jumlah biasa,
  2. Kadar degupan jantung ibu menjadi lebih tinggi. Perlu diingat juga, kadar degupan semakin meningkat jika kurang air, dan nadi bayi juga meningkat. Begitulah kuatnya pertambahan kerja jantung seorang ibu yang hamil.
  3. Dari segi tekanan darah pula, tekanan darah ibu semasa hamil akan menjadi rendah pada dua trimester pertama kehamilan, menyebabkan Ibu mudah merasa pitam. Sekiranya ibu tidak minum air secukupnya (dehidrasi), tekanan ini boleh menjadi lebih rendah. Ibu akan merasa lebih lemah.
  4. Semasa berpuasa, kandungan gula di dalam darah ibu yang hamil adalah lebih rendah, menyebabkan ibu merasa lebih cepat letih. Jika kandungan gula menjadi sangat rendah, ia boleh menyebabkan ibu menjadi loya dan muntah-muntah, lebih-lebih lagi pada peringkat awal kehamilan.
  5. Darah ibu semasa hamil adalah lebih pekat bagi melindungi ibu daripada pertumpahan darah yang berlebihan semasa bersalin. Keadaan ini meninggikan risiko mendapat darah beku (venous thromboembolism, atau VTE). Risiko ini meningkat jika ibu kurang air, atau tubuh mengalami kegersangan/hypovolaemia. VTE adalah sangat membahaya dan boleh membawa maut.
  6. Perubahan hormon semasa hamil memperlahankan pergerakan makanan yang hadam di dalam usus, menyebabkan najis menjadi lebih keras dan masalah sembelit. Masalah ini boleh bertambah jika ibu tidak minum secukupnya.

Takut pula bila baca perubahan fisioloji dan implikasinya ini, kan? Tapi sebenarnya, bukan tidak boleh berpuasa, cuma ibu disarankan untuk mendapatkan pendapat doktor yang menjaga kehamilan. Jika dibolehkan berpuasa, ibu perlu memastikan dia minum air secukupnya, dan beringat untuk tidak berlebihan dalam menjalani puasa.

Terdapat kondisi yang membuatkan ibu hamil itu tidak digalakkan berpuasa, antaranya:

  1. Ibu yang mempunyai risiko VTE yang sederhana atau tinggi.
  2. Ibu yang tidak sihat atau muntah-muntah, lebih-lebih lagi jika kerap muntah dalam semester pertama.
  3. Ibu yang mempunyai penyakit kencing manis dan memerlukan rawatan metformin atau insulin. Ada ibu yang mempunyai kencing manis tapi dibolehkan berpuasa. Yang penting, dapatkan khidmat nasihat doktor akan kesesuaian berpuasa bagi ibu ini.
  4. Ibu yang mempunyai kehamilan berisiko tinggi seperti pre-eclampsia, penyakit autoimmune, dan penyakit jantung.
  5. Ibu yang janinnya mempunyai masalah pembesaran (IUGR) atau kurang air ketuban (oligohydramnios).
  6. Ibu yang masih didalam 6 minggu pertama selepas bersalin, di mana risiko VTE paling tinggi semasa ini.

Bagi ibu yang menyusu pula, tiada bukti signifikan yang berpuasa pada bulan Ramadhan mengurangkan susu ibu. Akan tetapi, kadangkala Ibu tidak dapat menahan lapar semasa menyusu, dan khuatir kesihatan diri atau bayi boleh terjejas.

Kesimpulan dari perbincangan di atas, amat penting bagi ibu mendapatkan nasihat dari doktor yang merawat untuk memastikan keselamatan berpuasa semasa hamil terutamanya. Sekiranya ibu-ibu berpuasa, pastikan:

  1. Berbincang akan kesesuaian berpuasaa dengan doktor yang merawat.
  2. Minum air secukupnya. Ibu digalakkan untuk menggunapakai tips dari KKM untuk minum lapan gelas air semasa berpuasa (satu gelas selepas azan maghrib, satu gelas selepas makan, satu gelas selepas solat maghrib, satu gelas selepas solat isya, satu gelas selepas solat terawikh, satu gelas sebelum tidur, satu gelas selepas bangun tidur dan satu gelas selepas makan sahur).
  3. Banyakkan makanan yang tinggi kandungan protein supaya rasa kenyang lebih lama.
  4. Jangan paksa diri!

Diharap perkongsian ini dapat memberi manfaat buat semua. Selamat berpuasa!


*Source: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/1969-31

Share