Puasa & Kesuburan
Dr Salini Suhaila Nasir, Metro IVF
Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, sedikit perkongsian buat pasangan TTC yang sedang mencuba untuk hamil. Terdapat beberapa kajian mencadangkan berpuasa mungkin dapat membantu meningkatkan kejayaan kehamilan.
Puasa mempunyai banyak kebaikan kepada badan yang bukan sahaja sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi dari sudut kesihatan berupaya mengeluarkan hormon sintetik, membersihkan hati, mengalkalikan aliran darah dan menjana semula proses hormon semulajadi badan.
Berpuasa membolehkan semua toksin dikeluarkan dari sel, hormon diseimbangkan semula, hati memetabolismekan sebarang hormon berlebihan seperti xenoestrogen dan kortisol (hormon tekanan yang boleh menyebabkan keradangan, keletihan) yang mungkin membawa kepada ketidaksuburan. Apabila keradangan berkurangan, gula dalam darah dapat diseimbangkan semula, sistem imun dipertingkatkan dan sistem pembiakan menjadi lebih seimbang dan bersedia.
Terdapat pelbagai kesan berpuasa terhadap pelbagai hormon kesuburan lelaki dan wanita telah dikaji oleh pelbagai pihak dan mendapati tiada perbezaan atau sebarang kesan sampingan yang teruk.
Wanita yang mengalami ovari polisistik atau PCOS, adalah antara salah satu punca ketidaksuburan dimana kelihatan rantaian cyst pada ovari apabila melalui ujian sarigan imbasan pelvis. Tahap hormon seperti kortisol dan adrenalin wanita yang mengalami PCOS berkurangan semasa berpuasa. Kortisol adalah hormon yang membuatkan seseorang berasa tertekan seperti takut atau berdebar dan adrenalin dikeluarkan. Berpuasa dapat membantu wanita mengimbangi secara alami kortisol dan adrenalin serta meningkatkan peluang kehamilan.
Kepada pasangan lelaki pula, terdapat beberapa cadangan bahawa puasa meningkatkan jumlah sperma, tahap hormon gonadotropik dan tahap testosteron. Puasa tidak sama sekali meningkatkan atau mengurangkan kualiti air mani azoosperma (iaitu tiada sperma didalam air mani) tetapi mungkin dapat membantu pesakit lelaki yang mengalami oligozoospermia (bilangan sperma yang rendah).
Tips berpuasa bulan Ramadhan bagi mengekalkan kesihatan dan kesuburan.
- Minum banyak air dan bukan berkarbonat pada waktu pagi (Sahur) dan waktu berbuka (Iftar). Untuk menaikkan rasa yang lebih menarik, masukkan hirisan strawberi, oren, lemon dan pudina ke dalam air
- Elakkan minuman yang mengandungi kafein seperti kopi dan minuman bergas
- Elakkan makanan yang diproses, berempah, bergoreng dan bergula
- Memulakan berbuka puasa dengan makanan yang ringan seperti kurma dan makan secara perlahan-lahan untuk memudahkan penghadaman setelah seharian berpuasa. Selain kurma, jus avocado dengan buah-buahan atau buah-buahan kering atau sup adalah pilihan makanan yang sesuai untuk dipilih semasa berbuka puasa. Campuran karbohidrat, protein, buah-buahan dan sayur-sayuran yang baik perlu diambil untuk diseimbangkan dalam pengambilan makanan.
- Vitamin seperti suplemen B complex boleh ditambah dalam rutin harian.
- Dapatkan nasihat perubatan jika berlaku loya, pening, pedih ulu hati dan lain-lain.
Secara ringkas, bulan Ramadan adalah peluang yang baik untuk memberi tumpuan mengembalikan gaya hidup yang seimbang dan sihat dalam hidup. Melalui puasa, tabiat pemakanan dapat diatur dengan lebih baik, meningkatkan kawalan diri dan lebih berdisiplin.
Cabaran tetap hadir kepada semua terutama kepada yang mempunyai penyakit yang lain seperti gastrik, trimester pertama kehamilan dengan simptom pagi yang teruk atau komplikasi penyakit yang lain. Berbincang dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan yang bersesuaian dalam menangani penyakit tersebut disamping merebut peluang kemeriahan Ramadhan Mubarak.